SEMASA muda, Encik Nasroel Knaat cukup aktif dan tiada masalah berdikari. Namun, keadaan beliau, 73
tahun, berubah apabila beliau disahkan menghidap barah peparu tahap keempat Julai lalu. Selepas Lebaran lalu, Encik Nasroel dimasukkan ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH).
Doktor kemudian menyarankan beliau ditempatkan di Hospis Dover Park (DPH), yang menawarkan jagaan paliatif, memandangkan keadaan kesihatannya kian meruncing. Namun, isteri Encik Nasroel,
Cik Amnah Mahmood, 67 tahun, memilih agar suaminya terus tinggal di rumah mereka dan pihak DPH mengunjunginya sekitar seminggu sekali.
Kini, doktor, jururawat, pakar fisio terapi dan terapi pekerjaan mengunjungi keluarga
itu untuk menawarkan khidmat hospis kepada bekas pelaut itu. Khidmat yang diberi termasuk penjagaan kesihatan, terapi fizikal dan isu-isu berkaitan ubat yang perlu dimakan.
“Selain buat suami saya, para pakar itu memberi saya sokongan dari sudut emosi. “Itu memberi saya semangat untuk terus menjaga suami saya meskipun ia satu tugas berat dan mencabar,” kata Cik Amnah, seorang suri rumah. Encik Nasroel, turut menghidap tekanan darah dan kolesterol tinggi. Mujur bagi Cik Amnah, yang pernah menjadi pembantu gerai, beliau mendapat sokongan kededua anak lelaki dan menantu beliau menjaga Encik Nasroel.
Cik Amnah tinggal bersama anak dan menantu di sebuah flat di Upper Serangoon Crescent. “Pada hari mereka tidak bekerja, biasanya anak- anak saya akan membantu menjaga bapa mereka.
“Menantu saya turut sama memainkan peranan dengan memberi sokongan kepada suami mereka.
“Saya pula menyediakan makanan untuk beliau, selain membersihkan rumah,” kata Cik Amnah, yang sekarang kerap mengalami masalah sakit kaki akibat penuaan.
“Selain buat suami saya, para pakar itu memberi saya sokongan dari sudut emosi. Itu memberi saya semangat untuk terus menjaga suami saya meskipun ia satu tugas berat dan mencabar.”
– Cik Amnah Mahmood, mengenai doktor, jururawat, pakar fisio terapi daripada Hospis Dover Park yang datang rumahnya bagi menyediakan khidmat hospis bagi suaminya, Encik Nasroel Knaat, yang menghidap barah peparu tahap keempat.
BERIKUT lima mitos yang sering diperkata, dan realitinya, tentang hospis yang dikongsi Pengarah Perubatan
Hospis Dover (DPH) Park, Dr Ong Wah Ying, dan Pendidik Jururawatnya, Cik Halijah Jantan.
Mitos: Hospis tidak menawarkan jagaan atau kurang jagaan bagi pesakit.
Realiti: Hospis menawarkan lebih jagaan bagi pesakit.
Di hospis, pesakit dijaga dan disokong sepasukan kakitangan klinikal yang terdiri daripada doktor, jururawat, pekerja sosial perubatan, pakar terapi dan sukarelawan.
Khidmat yang disediakan mereka bertujuan menambah mutu kehidupan pesakit dengan membuat mereka berasa selesa dan menguruskan simptom mereka, seperti rasa sakit dan mual selepas makan ubat, terapi dan rawatan susulan lain.
Mitos: Doktor dan jururawat kurang layak berbanding di hospital.
Realiti: Doktor dan jururawat di hospis pakar dalam jagaan paliatif.
Di DPH, terdapat latihan jagaan paliatif di Singapura dan negara di rantau ini bagi doktor dan jururawat. Pasukan klinikal DPH juga melakukan kajian dan inovasi jagaan paliatif.
Mitos: Hospis sebuah tempat menyedihkan, bak rumah mati. Ia tidak sesuai dikunjungi kanak-kanak
dan warga tua.
Realiti: DPH menawarkan banyak kegiatan. Pesakit boleh menyertai kegiatan kraf tangan, terapi dan bersiar-siar. Sesiapa sahaja dibenar melawatnya dan ia menggalak keluarga serta rakan pesakit mengadakan perjumpaan bersama mereka di hospital.
Mitos: Keluarga berasa mereka ‘membuang’ dan membiarkan pesakit di hospis.
Realiti: Hospis rakan dalam jagaan yang bekerjasama dengan keluarga dalam khidmat menjaga pesakit.
Memandangkan sokongan psikososial penting di hospis, DPH menyediakan sokongan kepada keluarga dan bekerjasama dengan mereka bagi membantu pesakit agar lebih tenang dan aman. Keluarga boleh bersama pesakit setiap masa.
Mitos: Hospis bak trafik satu haluan – tiada jalan pulang.
Realiti: Pesakit dan keluarga ada pilihan dan kawalan ke atas jagaan mereka.
Pesakit boleh pulang selepas beberapa hari atau selepas satu tempoh tertentu. DPH mempunyai pesakit yang pulang setelah beberapa hari, agar mereka boleh mengakhiri hayat mereka di rumah.
Read original article here – Berita Harian
Read original article here – Berita Harian
Source: Berita Harian Pages 12 and 13